Assalamualaikum mina-san! ^^
Sempena entri ke-100 ni (baru nak masuk seratus dah kecoh), aku tak buat segmen apatah lagi GA. Cuma aku nak buat profil aka biodata aka biografi sikit la pasal aku. Aku yakin takde sesiapa yang akan baca tapi aku nak jugak taip. Tak kira aku nak taip jugak, tak kira tak kira tak kiraaaa..
SERIUS! Entri ni panjang.. so tarik nafas panjang-panjang dulu sebelum baca okeh.
Nama: Nur Nabihah binti Mohd Fazali
Tarikh lahir: 26 Februari 1994
Asal: Cheras, Selangor
Jenis darah: A
Bilangan adik-beradik: 5 orang (anak keempat)
Warna kesukaan: Hitam
Tinggi: 115cm / 3 kaki 7 inci (pendek kan)
Berat: Masih bawah 40kg (yang pasti dalam BMI aku tergolong dalam obesiti)
Hobi: Layan lagu rock
Kenapa nama blog Iha Zaliza?
Iha Zaliza adalah gabungan kepada nama aku, abah, dan mak.
Nabihah + Fazali + Haliza = Iha Zaliza :)
Untuk pengetahuan semua, aku bukan manusia biasa yang boleh memanjat macam monyet, yang boleh berlari macam budak sekolah nak balik rumah, dan aku jugak tak boleh merangkak macam bayi yang baru nak belajar merangkak. Aku cuma boleh baring, duduk, dan mengengsot. Ohh ada lagi, aku boleh meniarap dan bergolek, hihi.. bajet cun lettew..
Aku menghidap sejenis penyakit yang diberi nama Osteogenesis Imperfecta (OI), dalam bahasa orang Melayu senang nak faham ialah tulang rapuh. Penyakit OI ni terbahagi kepada 8 jenis, aku menghidap OI Type III.
Ciri-cirinya ialah:
*Tulang mudah patah dan berkemungkinan telah patah sebelum kelahiran (dalam kandungan)
*Kemungkinan besar gigi tak dapat tumbuh dengan penuh (sedih)
*Gigi hanya mempunyai satu lapisan berbanding dengan manusia normal yang memiliki 3 lapisan
*Mata berwarna biru laut (blue sclera)
*Ketinggian terbantut
*Ketebalan tulang tak sama seperti manusia normal
*Lepas patah tulang akan menjadi bengkok
*Kepala berbentuk segitiga (ehh aku bukan alien tau.. huhu..)
*Kemungkinan deria pendengaran akan hilang
*Mempunyai masalah pernafasan (jarang berlaku)
*Tulang dada / rusuk berbentuk seperti tong
Menurut ceita mak abah aku, dulu masa kecik aku tak boleh terkejut. Terkejut sikit boleh patah. Dengar bunyi kilat, dengar bunyi mercun, dengar bunyi pintu terhempas pun boleh patah. Lagi satu, aku dulu tak boleh dekat dengan orang lain. Biasa la waktu kecik, makcik-makcik yang tengok mesti rasa geram dan macam nak kunyah aku (perasan), jadi kalau pegang aku dengan kasar je boleh patah.
Rasa patah tu tak payah cakap la. Sakit derr.. nak menangis pun takut sebab dulu mak abah aku garang. Even sakit, aku selalu kena marah sebab nak disiplinkan diri aku sendiri dan tak mudah jadi anak manja. Marah pun guna mulut je, takde la sampai tangan ke pipi aku. Jadi kalau patah, aku akan diam sambil tahan sakit. Penangan takut kena marah punya pasal la ni, heheh..
Aku belajar duduk masa umur 9 tahun, aku belajar mengensot masa 15 tahun dan aku belajar uruskan diri sendiri masa 17 tahun. Dari segi fizikal aku memang lembab sikit. Semua kena mintak tolong orang. Dan selalu sangat aku rasa diri aku useless, sebab tu aku usaha perbaiki diri setiap tahun. Belajar jalan? Insya Allah..
Masa sebulan lepas lahir aku disahkan menghidap OI ni, doktor cakap tak ada rawatan dekat Malaysia. Doktor suruh tawakal ala-ala wait and see apa yang akan jadi kat aku bila besar nanti.
Tak lama kemudian, masa umur aku 5 tahun aku mula dapat rawatan kat HUKM (sekarang PPUKM).
Aku pesakit pertama dari Malaysia yang dijadikan sebagai eksperimen untuk mencuba kaedah rawatan Pamidronate. Bila ubat tu beri kesan positif, Pamidronate digunakan untuk pesakit senasib yang lain. Alhamdulillah.. ubat tu perantaraan je kan.. :)
Lepas tulang aku boleh nampak dekat x-ray (ketebalan tulang bertambah), pembedahan untuk meluruskan tulang kaki dan tangan yang bengkok pulak dilakukan. Pembedahan yang diberi nama Kebab Procedure juga berjaya dijalankan. Nama yang agak sedap, kaedah dia pun SEDAP jugak, patahkan tulang, buang tulang yang terlalu bengkok dan masukkan besi. Haa sedap tak sedap, hahaha.. sekali lagi aku rasa bangga menjadi pesakit pertama di Malaysia yang menjalani pembedahan tersebut.
Bukan bangga sebab riak, tapi bangga sebab rawatan ni makin meluas di Malaysia lepas aku jadi eksperimen.. :)
Kalau nak tanya berapa kali patah dalam seumur hidup, memang tak terkira.. lebih 500 la jugak.
Buat masa ni aku dah jalani pembedahan sebanyak 12 kali.
Sekarang? Alhamdulillah.. berkat Pamidronate, doa orang-orang tersayang dan yang paling penting sekali dari keredhaan Allah, kesihatan aku sekarang lebih osem dari dulu.. alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.. aku makin gemuk berbanding dulu kurus kering dan makin senang nak main wrestling sebab tulang makin kuat. Hihi..
Tapi, kesihatan aku tak semestinya sentiasa baik. Sekarang agak menderita la jugak sebab tak dapat nak ambik Pamidronate lagi akibat cukup dos. Kalau ambik banyak-banyak nanti takut ada kesan sampingan lain pulak. Tapi sejak lebih setahun tak ambik ni kalsium aku makin kurang. Oh lupa nak cakap, tulang aku tak dapat serap makanan dan minuman yang mengandungi kalsium.
Sekarang aku tak dapat sambung belajar akibat susahnya nak berdikari, huhu.. Insya Allah, mungkin nanti nak ambik PJJ. Aku nak sangat sambung course kaunseling.
Kerja yang aku buat sekarang cuma jadi writer je, kadang-kadang datang idea nak compose lagu. Aku cuma reti main gitar SG dan Keyboard je, teringin nak main violin pulak tapi tak berkesempatan lagi.
Klik pada gambar untuk baca penulisan aku yang sedikit hampeh, hehe..
Gitu la serba-serbi-serbu tentang aku. Biodata ni akan diupdate dari semasa ke semasa.

