1.02.2015

Lifes: Cerpen Ke-4 di Penulisan2u

Assalamualaikum..

Untuk korang yang dah lama kenal aku, mesti korang tahukan yang aku suka menulis cerpen yang tak best, haha.. 29 Disember lepas, cerpen keempat aku iaitu Cahaya Bidadari telah disiarkan di Penulisan2u. Ini adalah satu-satunya cerita yang paling serius pernah aku karang. Tak tidur malam sambil kerut kening sebab buat rumusan pasal tempat menarik di Australia.

Aku nak orang membaca dengan ilmu, bukan untuk suka-suka. Tapi serius sikit, tak buat lawak. Aku kena perah otak memandangkan tak pernah pergi luar negara. Paling jauh pernah pergi Kulim - Segamat je.


Mintak tolong untuk sesiapa yang minat baca cerpen, minta tolong sangat-sangat untuk beri kritikan berasas dekat laman web tersebut. Kalau ada yang tak kena, bagitahu je, aku terima 100%. Cuma jangan kutuk aku dengan mencarut dahlah. Nanti aku menangis kat sudut bilik air.

Fadhali Friday 4: Bila Orang Sayang Kita

Assalamualaikum..


Maksud Fadhali Friday.

Bila orang sayang kita:

Hidup kita dipermudahkan → Segala urusan seharian kita akan berjalan dengan lancar sebab tak ada orang yang akan benci kita.

Hati lebih tenang → Tidak akan merasa susah hati untuk menghadapi setiap detik dan waktu serta tidak perlu memikirkan pandangan orang lain terhadap diri sendiri.

Ramai akan membantu → Percayalah, disaat memerlukan tanpa kita pinta akan ada orang-orang yang ringan tulang menghulurkan bantuan kepada kita.

Berfikiran lebih rasional → Kita akan berfikir lebih dari sekali dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelak salah faham orang sekeliling.

Murah rezeki → Setiap amal kebaikan yang kita amalkan, pasti akan ada yang melihat walaupun seorang. Jangan risau, orang-orang yang melihat itu tidak akan pernah lupa pada kita. Mereka tergolong dalam kalangan orang yang tidak berkira dalam memberi sesuatu yang bermanfaat kepada kita.

Wajah berseri-seri → Tidak semestinya perlu memakai produk kecantikan. Wajah berseri secara semulajadi adalah datangnya dari hati. Wajah yang berseri akan menampakkan keikhlasan hati kita dalam menghadapi segala yang terlihat di mata kasar ini.

Terhindar dari sifat hasad dengki → Walaupun bukanlah seratus peratus tepat, tetapi ianya mampu mengelakkan sifat kita bertukar menjadi buruk apabila kita rasakan diri lebih disayangi dan dihargai terhadap orang-orang sekeliling terutama sekali insan tersayang.


Tapi macam mana nak buat orang sayang kita?

Niat → Apa yang kita buat sepanjang hidup, semestinya kita mempunyai matlamat dan impian tersendiri disertakan dengan niat. Pasang niat kearah kebaikan.

Contohnya, pagi ni pasang niat nak makan roti je walaupun ada bahan-bahan yang boleh digunakan untuk masak nasi lemak satu kawah. Tapi kita tak sampai hati nak susahkan isteri kita. Dek kerana nak merasa air tangan isteri, kita pun suruh dia buat roti disapukan dengan marjerin. Dapatlah jugak merasa cap jari tangan isteri.

Niat yang ikhlas akan buat orang secara automatik sayangkan kita walaupun bantuan kita tak seberapa.

Sedekah → Jalan paling mudah untuk disayangi. Tidak perlu memberi harta yang terlalu banyak, cukup sekadar niat hendak membantu. Tapi kalau mampu tak salah memberi, asal jangan riak. Walaupun mungkin tiada yang melihat kebaikan kita, Malaikat tetap akan mendoakan pada waktu pagi kepada si pemberi sedekah. Tak seronok ke kita bila Malaikat doakan untuk kita?

Apa yang pasti, balas setiap perbuatan kita tetap akan berlaku. Yakinlah akan ada manusia yang mengasihi kita tanpa disangka hanya kerana amal kebajikan kita.

Antara cara bersedekah melalui duit atau tanpa menggunakan duit:

-Derma surau/masjid.

-Pergi mana-mana pusat membeli-belah. Selalunya akan disediakan tabung derma.

-Zakat

-Membantu orang-orang yang sedang dalam kesusahan (dari segi tenaga mahupun kewangan).

-Senyum, jangan sombong sesama manusia.

-Doakan kesejahteraan saudara sesama Islam dan doa diberikan hidayah kepada yang bukan Islam.

-Memberi sumbangan pada si peminta derma di tepi jalan / kedai makan. Jangan rasa was-was, kalau mereka tipu, mereka yang akan mendapat balasan. Niat kita hendak membantu.

-Jangan kedekut berkongsi makanan bersama haiwan seperti kucing, burung, dan sebagainya.

-Menghantar SMS bantuan kepada pihak tertentu. Contohnya sekarang ni musim banjir. Boleh dermakan sikit kredit kepada nombor berkenaan.

-Menyebarkan ilmu fardu/kifayah yang dimiliki.

Berbudi bahasa → Walau rapat macam mana sekalipun kita dengan seseorang, elakkan dari bertutur sesuatu yang kurang menyenangkan. Sentiasa berfikir sebelum mengatakannya walaupun hanya sekadar untuk bergurau.

Bak kata Imam Ghazali, LIDAH MANUSIA adalah yang paling tajam di dunia ini. Dan bersabda Rasulullah SAW: "Amal yang paling dicintai Allah SWT adalah menjaga lisan." -Hadis Riwayat Baihaqi.

Ingatlah bahawa bila kita menyakiti hati sesama manusia, tidak akan ada cara lain seperti solat taubat nasuha atau lain-lain untuk memohon keampunan selain meminta maaf dari insan yang kita sakiti itu.

Memahami → Jadilah pendengar yang baik. Kalau orang sekeliling kita ada masalah, cuba menjadi pendengar yang baik. Andai seseorang itu memerlukan pendapat dari kita, beri pandangan seeloknya dengan berhemah. Jangan terus membebel secara melulu.

Misalnya, seorang kawan rapat beritahu masalah percintaannya.

Perempuan Jelita: Aku ada masalah dengan pakwe aku.

Gadis Ranggi: Apa masalahnya.

Perempuan Jelita: *Pot pet pot pet sambil menangis* haa macam tulah ceritanya. Pendapat kau?

Gadis Ranggi: Aku bukanlah orang baik, tapi aku cadangkan kau doa setiap kali solat untuk minta petunjuk. Lebih afdal solat hajat dan solat istikharah. *dan gadis ranggi pun meneruskan nasihatnya sepanjang 83 perenggan.*

Perempuan Jelita: Oh macam tu rupanya, terima kasih babe! Sayang kau.

Apa yang penting kerjasama, menegur dengan cara profesional tanpa menghina.

Takkan ada manusia yang tidak akan dibenci manusia. Sedangkan baginda kita pun pernah dihina, dikeji apatah lagi dibenci. Asalkan kita jadi yang terbaik. Kalau ada yang membenci, itu terpulang pada dia. Doakan moga dilembutkan hati si pembenci agar tiada perasaan hasad dengki dan lain-lain.

P/s: "Hadiah" untuk followers sebab aku dah setahun lebih tak aktif blog. Selamat membaca esei. :P

1.01.2015

Lifes: Masa Kecik-Kecik Dulu, Aku....

Assalamualaikum..

Masa kecik-kecik dulu, aku....

1. Teringin nak tengok komponen yang ada dalam TV. Musykil dengan kewujudan manusia dalam TV.

2. Hairan bila tengok bulan, matahari, dan bintang asyik ikut mana aku pergi.

3. Ingatkan siapa yang dapat anak merupakan suatu keajaiban. Yelah, tak ke magic, lepas sebulan dua kahwin terus mengandung?

4. Ingatkan kalau gosok tangan guna pemadam dengan kuat, nanti tangan akan hilang.

5. Conteng anggota badan guna pen untuk dapatkan superpower kononnya.

6. Buat-buat menggelupur kesakitan atas katil bila malas nak ke sekolah.

7. Suka bagi bekal sekolah kat kawan yang tak dikenali tiap-tiap hari lepas tu kena marah dengan mak.

8. Tak akan rasa bahagia kalau tak dapat tengok kartun hujung minggu.

9. Tanya mak "Kenapa semua suara penyanyi hindustan sama je?"

10. Ingat akan ada 32 haribulan.

Tapi tu semua masa kecik. Sekarang dah besar gedabak. Kalau letak aku kat sebelah badak pun mesti korang tak dapat nak bezakan. :P

Apapun, Selamat Datang 2015.
Jadilah manusia yang berakal.
Jadikan apa yang berlaku sepanjang hidup kita sebagai pengajaran.
Sentiasa bersedia dengan ujian yang bakal mendatang supaya tak cepat melatah di kemudian hari.